Tuesday, June 26, 2012

Jalang - 2

Kata orang cinta itu indah. Entah. Kalau kau tanya kau, aku tak punya jawapan yang pasti. Tapi kalau bukan kerana cinta, kenapa aku  berkahwin? Pilihan keluarga? Di paksa? Atau atas dasar lain? 


Aku pun sudah lupa alasan apa aku berkahwin. Kalau mahu kata cinta, jujurnya aku tidak punya ruang untuk mengenali siapa suamiku sebenar. Aku cuma tahu dia seorang Lans Koperal Polis yang bertugas di bandar yang asalnya dia seorang anak jati Sabah. Di hantar bertugas ke bandar Miri setelah habis latihan polisnya. 


Kalau di katakan aku anak naif, bisa saja aku terima gelaran itu. Peluang untuk keluar dating itu tidak wujud, untung anak muda sekarang dapat keluar mengenal siapa sang kekasih yang sebenarnya. Aku tidak. 


Aku masih ingat awal tahun 90-an aku bekerja sebagai kerani di sebuah stesen minyak Shell yang terletak di bandar. Malah anak buah ku juga bekerja di situ. Jujurnya, sepanjang aku membesar, aku tak punya kawan selain anak buahku yang sebaya dan hampir sebaya, anak Kak Long dan Kak Ngah. 


Aku anak bongsu yang di kawal segala pergerakanku. Aku hanya boleh keluar ke bandar hanya dengan anak-anak buah ku sahaja dan bila tiba waktu untuk pergi dan pulang kerja, abah atau abangku akan menunggu awal di luar stesen.


Jadi kau kira macam mana aku mahu luang masa mahu kenal sama sang kekasih? Tika itu, di kala umur masih 20-an, pemikiranku tidak begitu matang dan luas dalam pergaulan. Bila sang suami menemui aku dan mengajak aku untuk menjadi yang halal untuknya, aku hanya diam dan meminta dia berjumpa orang tuaku untuk mendapat keizinan. 


Apa yang aku masih ingat, sebelum bersetuju dengan niat suamiku, ibuku terlebih dahulu bertanya samada status sang suami semasa dia datang ke rumahku. Bertanya adakah dia suami orang atau punya tunangan di Sabah yang masih menanti dia? Jawapannya tidak. Aku percaya. Amat percaya. Tapi masa itu aku yakin bahawa cintaku akan wujud bila masa rumah tangga kami akan di bina. 


Tidak lama selepas itu, ahli keluarga datang dari Sabah membawa 2 tujuan. 1 meminta tuntutan kepada kami dan masuk meminang. Aku pelik, tuntutan apa yang mereka maksudkan?


Telah itu baru aku tahu sang suami punya tunangan di Sabah. Sudah lama dan sebagai adat untuk memutuskan tali pertunangannya dengan gadis Sabah itu, keluargaku harus membayar harga seekor kerbau sebagai ganti. 


Kau tahu apa perasaan aku tika itu? Malu! Malu dengan perbuatan sang suami yang tidak berterus terang malah dia dengan tenang mengatakan dia tidak tahu kerna keluarganya yang mengaturkan pertunangan itu tanpa pengetahuannya. Harga seekor kerbau pada tahun 90-an? Kau boleh bayangkan? Aku rasa bagai mahu selam kepala ke tanah. Mahu tutup malu. 


Lalu abah yang memahami itu bukan salahku, dengan tegas mengatakan kami tidak akan membayar waima 1 sen sekalipun kerana semasa pertama kali bertemu telah ibu bapaku bertanya status sebenar sang suami. Aku jangka perkara itu akan berkesudahan begitu saja. Rupanya tidak. Rupanya ada dendam yang di simpan oleh keluarga suamiku terhadap ibu bapaku dan akhirnya...dendam itu terpalit padaku. 


Akhirnya kami menikah. 


dan pernikahan yang selalunya di impikan mana-mana gadis akan menjadi sebuah kisah cinta hanya dongeng semata. Sebab perkahwinan ini hanya menjadikan aku seorang isteri yang sengsara...sengsara...







No comments: